Anwar minta rakyat bantu redakan isu kaum, agama
Presiden PKR Anwar Ibrahim berharap rakyat dapat membantu mengurangkan ketegangan dalam isu-isu melibatkan kaum dan agama yang timbul di negara ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas perhiasan sempena tahun baru Cina di SMK Pusat Bandar Puchong 1 di Selangor, yang didakwa sesetengah pihak sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Secara umumnya kita harus bantu menyederhanakan sikit (keadaan) kerana kadang kadang, misalnya (dalam isu) tulisan Jawi, reaksi yang melampau pun tidak elok juga.
“Dalam hal yang sama, ini sambutan tahun baru Cina. Kita sebagai warga Malaysia, termasuk saya, ucapkanlah ‘selamat tahun baru’ (dan ucapan lain seperti) ‘Xinnianhao’ (semoga hari-hari di tahun baru baik), dan bagi mereka (masyarakat Cina) gembira,” katanya yang juga anggota parlimen Port Dickson.
Beliau ditemui pemberita di Persidangan Antarabangsa Perpaduan dalam Kepelbagaian di Pusat Konvensyen Sime Darby Kuala Lumpur hari ini.
Perhiasan di sekolah itu dibangkitkan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mendakwa menerima aduan dari ibu bapa pelajar, yang merasakan ia satu percubaan untuk menyebarkan kepercayaan agama lain terhadap murid Islam.
Khairul Azam berkata hiasan itu melanggar Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang berkenaan Islam sebagai agama persekutuan.
Untuk rekod, sambutan tahun baru Cina ialah sebuah perayaan kebudayaan, dan bukannya agama.
Terdahulu, Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo menyifatkan pemasangan perhiasan sempena perayaan adalah perkara biasa.
Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, menerusi pengerusinya Kuan Chee Heng, lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, yang berkata ia bukan satu isu besar.
– Malaysiakini
15,942 Comments